Skip to main content
Berita TimurBerita TempatanKelantan

Seindah Park: Permata Tersembunyi di Bachok

By 16 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zuhairah Zaini (Bachok)

BACHOK, 16 Feb (MalaysiaAktif) – Seindah Park di Kampung Alor Bakat kini menjadi sebutan ramai sebagai permata tersembunyi baharu di Bachok.

Kedudukannya yang sedikit terlindung dan tersorok dari laluan utama menjadikan taman ini kurang sesak serta kekal terpelihara daripada pembangunan pesat.

Antara sudut bergambar yang menjadi tarikan pengunjung Seindah Park.

Keistimewaan tersebut menjadikan Seindah Park lokasi peragaan hari ini (OOTD) yang semakin popular, malah ada pengunjung menyifatkan sudut-sudut tertentu di taman ini memberikan suasana seakan kawasan tanah tinggi dengan latar hamparan hijau dan langit terbuka yang memukau, khususnya ketika waktu golden hour pagi dan senja.

Seindah Park turut menjadi lokasi riadah pilihan komuniti setempat. Laluan yang disediakan sesuai untuk aktiviti berjalan santai dan briskwalk (jalan laju), melibatkan pengunjung daripada pelbagai peringkat usia yang memanfaatkan kawasan ini untuk menjaga kesihatan sambil menikmati udara segar.

Menurut Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Alor Bakat Ismail Abd Majid, tidak menyangka Seindah Park akan menjadi kawasan tumpuan hasil dari kerjasama penduduk kampung.

Laluan hampir 1km untuk jalan laju sepanjang Seindah Park yang jauh dari jalan utama dengan udara yang bebas dan segar.

“Sebagai orang kampung di sini, kami sendiri tak sangka tempat yang dulunya biasa kini jadi seindah ini. Semua sudut yang cantik untuk OOTD ini hasil usaha bersama penduduk Kampung Alor Bakat,” ujarnya.

Kehadiran pengunjung pada hujung minggu turut membuka peluang ekonomi kepada peniaga kecil, sekali gus membantu merancakkan ekonomi setempat tanpa menjejaskan keaslian persekitaran.

Seindah Park membuktikan bahawa lokasi tersembunyi mampu menjadi permata berharga, bukan sahaja sebagai destinasi OOTD dan jalan laju malah simbol ketenangan dan gaya hidup sihat komuniti setempat.

-RI

Tinggalkan komen anda