
Laporan/foto: Iswandi Kassim/UKAS (Sri Aman)
SRI AMAN, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Kepelbagaian budaya dan perayaan di Daerah Sri Aman dilihat sebagai aset pelancongan yang unik dan berpotensi menarik lebih ramai pelancong, selain menjadi asas kukuh keharmonian masyarakat setempat.
Ahli Parlimen Sri Aman, Doris Sophia Brodie berkata semangat toleransi dan sokongan penduduk terhadap aktiviti kebudayaan rakan dari komuniti lain mencerminkan identiti sosial yang kuat dan mampu dipromosikan sebagai produk pelancongan budaya.

Doris (tengah) bersama kepimpinan komuniti Cina Simanggang merakam kenangan di hadapan dekorasi lampu sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, simbol perpaduan masyarakat berbilang kaum.
“Apabila kita menyalakan lampu di tokong ini, ia bukan sekadar hiasan perayaan, tetapi cahaya ini simbolik kepada kesediaan kita untuk terus hidup bersama dalam suasana harmoni dan saling menghormati identiti masing-masing,” katanya ketika upacara simbolik menyalakan lampu di perkarangan Sri Aman Chinese Temple, kelmarin.
Dalam majlis sama, Doris Sophia menyerahkan sumbangan cek Outright Grant berjumlah RM30,000 kepada pihak tokong sebagai galakan untuk meneruskan penganjuran program kebudayaan yang dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Doris (tengah) melakukan demonstrasi seni kaligrafi Cina sebagai simbolik penghargaan terhadap warisan tradisi komuniti Tionghua di Simanggang.
Temenggong Kuek Aik Seng pula berkata sokongan pemimpin daripada pelbagai latar belakang memberi suntikan semangat kepada masyarakat Tionghua setempat dalam memartabatkan warisan tradisi.
Kemeriahan sambutan pelbagai perayaan di Sri Aman turut mencerminkan semangat toleransi yang menjadi asas keharmonian masyarakat pelbagai kaum, selain berpotensi dijadikan tarikan pelancongan budaya yang bernilai.
-RJ-





