
Laporan/Foto: Hisham Dzid/Fauzrina Bulka (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 17 Feb (MalaysiaAktif) – Persatuan Kebajikan dan Sukarelawan Wanita Sabah (UKHWAH) dan lebih 100 peserta berjaya menamatkan ekspedisi pendakian Bukit Botak Sepanggar, di sini sebagai usaha mendukung agenda masyarakat sihat.
Dianjurkan bersama Sabah Outreach Movement Association (SOMA) dan Parlimen Sepanggar, Program Hiking Sihat MADANI 2026 itu melibatkan peserta daripada pelbagai peringkat usia sekali gus menyemai semangat perpaduan dalam komuniti setempat.
Pengerusi UKHWAH, Datin Rosnih Nasir berkata rata-rata peserta yang hadir adalah komuniti dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Sepanggar khususnya yang berhampiran dengan Bukit Botak.

Rosnih menyampaikan ucapan perasmian pada Program Hiking Sihat MADANI 2026 di Bukit Botak Sepanggar, Kota Kinabalu, sebagai simbol sokongan kepada gaya hidup sihat dan perpaduan komuniti.
“Objektif program ini dijalankan supaya agenda aktiviti Sihat MADANI ini dapat dilaksanakan dengan baik dengan penglibatan semua peringkat usia. Tidak semestinya hanya remaja sahaja yang sesuai menyertai program seperti ini, buktinya yang mendapat johan dan tempat ketiga untuk acara hari ini dimenangi peserta berusia,” katanya ketika ditemui semasa aktiviti pendakian, di sini pada Ahad.
Bagaimanapun, Rosnih berharap pihak berkaitan dapat menaiktaraf fasiliti awam di Bukit Botak bagi keselesaan pendaki sekali gus meningkatkan potensi bukit berkenaan sebagai kawasan ekopelancongan di Sepanggar.
“Dengan penaiktarafan tersebut, Bukit Botak ini akan menjadi sangat cantik sebagai salah satu kawasan rekreasi di kawasan Sepanggar ini,” ujarnya.
-RJ-





