Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Bazaar Ramadan Medan Ria Setia Raja Mukah Rancak Ekonomi Setempat

By 20 Februari 2026Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun (Sarawak)

MUKAH, 20 Feb (MalaysiaAktif) – Seramai 134 peniaga tempatan menyertai Bazaar Ramadan Medan Ria Setia Raja Mukah tahun ini sekali gus merancakkan ekonomi komuniti setempat sepanjang bulan Ramadan.

Bazaar di bawah seliaan Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) itu menghimpunkan pelbagai jualan makanan dan minuman tradisional serta moden bagi memenuhi keperluan pengunjung mendapatkan juadah berbuka puasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri Tellian, Royston Valentine berkata, penganjuran bazar berkenaan bukan sahaja memudahkan penduduk mendapatkan juadah, malah membuka peluang menjana pendapatan kepada usahawan kecil.

Royston (baju putih – kiri) dan Abdul Yaakub (baju hitam – kanan) menyempurnakan pemotongan reben tanda simbolik perasmian Bazaar Ramadhan Medan Ria Setia Raja petang semalam.

“Penyertaan 134 peniaga tempatan menunjukkan sambutan menggalakkan dan bazar ini menjadi platform penting membantu meningkatkan ekonomi rakyat,” katanya selepas merasmikan bazar tersebut, di sini semalam.

Menurutnya, MDDM memastikan pengurusan bazar berjalan lancar termasuk penyusunan gerai, kebersihan dan pemantauan harga bagi menjaga kesejahteraan pengguna.

Pengerusi MDDM, Arini Suhaili berkata kewujudan Bazaar Ramadan Medan Ria Setia Raja Mukah memudahkan orang ramai, khususnya kakitangan awam, mendapatkan juadah berbuka puasa selepas waktu bekerja.

“Pilihan makanan yang ditawarkan pelbagai dengan harga berpatutan, selain kawasan bazar lebih tersusun dan bersih tahun ini,” katanya.

Seorang peniaga, Asri, 34, berkata penyertaannya membantu menambah pendapatan keluarga selain membuka peluang pekerjaan kepada belia tempatan.

Asri (tengah, bertopi) bersama pekerja menjual Nasi Briyani Pakistan Original di Bazaar Ramadhan Medan Ria Setia Raja, semalam.

“Alhamdulillah, sambutan sangat baik daripada pembeli, pengunjung dan orang ramai sejak saya terlibat dalam perniagaan di Bazaar Ramadan Media Setia Raja Mukah masuk tahun ke lima kali ini di mana saya menjual Original Nasi Briyani Pakistan dengan menu yang dipelbagaikan secara langsung menarik dan mendapat perhatian ramai,” katanya.

Bagi Mohd Farish, 17, peluang berniaga di lokasi strategik itu membantunya memperkenalkan produk minuman sejuk kepada pengunjung.

Mohd Farish bersama air minuman sejuk beraneka perisa dijual kepada pelanggan yang datang ke gerai miliknya.

“Saya lihat bazar ini merupakan platform terbaik untuk usahawan baharu seperti saya kerana dengan jumlah pengunjung yang ramai setiap hari secara tidak langsung produk jualan kita lebih mudah dikenali,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Balingian, Abdul Yaakub Arbi berkata penganjuran Bazaar Ramadan Medan Ria Setia Raja Mukah wajar diteruskan berikutan impaknya terhadap ekonomi setempat.

“Selain membantu peniaga menjana pendapatan bermusim, bazar ini turut menggalakkan peredaran wang dalam komuniti setempat,” katanya.

Menurutnya, bazar berkenaan bukan sahaja lokasi mendapatkan juadah berbuka puasa, malah berperanan merangsang ekonomi mikro di kawasan Tellian dan sekitarnya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda