Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Alus Manis, Identiti Kulinari Simunjan Terus Mekar

By 20 Februari 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Firdaus Hadi (Simunjan)

SIMUNJAN, 20 Feb (MalaysiaAktif) – Alus Manis, manisan tradisional yang sinonim dengan daerah Simunjan, terus kekal sebagai warisan kulinari masyarakat Melayu tempatan, malah berpotensi dikembangkan sebagai produk ekonomi komuniti luar bandar.

Mila menghasilkan Alus Manis tradisional yang lembut dan manis sederhana, meneruskan warisan keluarga sambil menjana pendapatan komuniti.

Pengusaha Alus Manis dari Kampung Kelka, Puan Mila Ahmad, 34, berkata manisan itu dihasilkan menggunakan bahan asas seperti gula, tepung gandum dan minyak masak yang mudah diperoleh.

Menurut beliau, walaupun bahan yang digunakan ringkas, proses pembuatannya memerlukan ketelitian tinggi bagi memastikan tekstur dan kualiti sentiasa konsisten.

“Tiada bahan rahsia digunakan, namun teknik menarik gula merupakan proses paling penting untuk menghasilkan tekstur yang halus dan sempurna,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau menjelaskan, teknik tersebut menentukan keseimbangan rasa, tahap kemanisan serta kelembutan Alus Manis yang dihasilkan. Manisan yang sempurna mempunyai tekstur lembut seakan-akan gula kapas dan cair sejurus dimasukkan ke dalam mulut.

Selain sesuai dijadikan kudapan harian, Alus Manis juga sering menjadi pilihan dalam majlis keramaian kerana rasanya yang manis sederhana dan tidak memuakkan.

Alus Manis dijual dalam pek siap bungkus dengan label jenama dan nombor telefon pengusaha bagi memudahkan tempahan.

Manisan tradisional ini dipercayai telah wujud sejak sekian lama sebagai makanan ringkas yang dihasilkan daripada bahan kampung. Resipinya diwarisi secara turun-temurun dan lazimnya disediakan secara bergotong-royong, mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat setempat.

Kini, Alus Manis semakin dikenali sebagai identiti kulinari Simunjan dengan potensi untuk dikomersialkan secara lebih meluas. Usaha pengusaha tempatan bukan sahaja melestarikan warisan makanan tradisional, malah membuka peluang menjana pendapatan sampingan serta menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi komuniti.

-RJ-

Tinggalkan komen anda