
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 27 Feb (MalaysiaAktif) – Kompleks Belia dan Sukan (KOMBES) Labuan yang dinaik taraf dijangka memperkasa pembangunan belia dan sukan di pulau bebas cukai itu apabila siap sepenuhnya Ogos ini.

Mordi (tengah) semasa mendengar taklimat perkembangan projek daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya Labuan
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Mordi Bimol berkata projek berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasa pembangunan belia dan sukan Malaysia menerusi penyediaan kemudahan dan fasiliti penganjuran program dan aktiviti yang lengkap dan kondusif.
“Kerajaan sentiasa komited memastikan infrastruktur yang disediakan adalah berkualiti, inklusif dan boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan lokasi.
“Walaupun belum siap sepenuhnya, saya percaya kemudahan yang ada ini akan memberikan manfaat kepada segenap pemegang taruh. Gunakanlah kemudahan dan fasiliti ini sebagai platform mencungkil bakat baharu, membina sahsiah diri, serta memupuk semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perakuan Pendudukan Separa Blok Dewan dan Blok Pentadbiran serta Infrastruktur yang berkaitan di KOMBES Labuan, hari ini.

Mordi (tiga dari kiri) meninjau sendiri perkembangan projek naik taraf Stadium Bola Sepak Labuan
Menurut beliau, projek yang bermula pada 1 Dis 2021 itu melibatkan kos kira-kira RM21 juta dan diluluskan di bawah Rolling Plan 1 Rancangan Malaysia Ke-12, merangkumi skop kerja bangunan awam, elektrik serta mekanikal.
“Setelah melalui pelbagai cabaran, Perakuan Pendudukan Separa kepada Pelanggan bagi Blok Pentadbiran, Pejabat Pentadbiran, Gelanggang Terbuka dan Lampu Jalan telah berjaya dikeluarkan oleh pihak JKR pada 31 Okt 2025 yang turut merangkumi dewan dan infrastruktur yang berkaitan,” katanya.
-AA-





