
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Hendry Nurdin (Tawau)
TAWAU,2 Mac (MalaysiaAktif) – Dewan Serbaguna Masjid Babur Taqwa di Kampung Sungai Imam yang siap dibina bulan lalu menjadi simbol pengukuhan pembangunan komuniti setempat serta menyediakan ruang lebih selesa kepada jemaah dan penduduk menjalankan aktiviti kemasyarakatan.
Penaung Persatuan Peduli dan Prihatin Rakyat Sabah (PERASA) Datuk Ruji Ubi berkata kemudahan tersebut membantu masyarakat melaksanakan program keagamaan dan komuniti secara lebih teratur.
“Dewan ini diharap menjadi pusat penyatuan masyarakat dan membantu penduduk menjalankan pelbagai aktiviti komuniti serta program keagamaan dengan lebih aktif.
“Projek yang diluluskan pada Ogos tahun lalu itu berjaya disiapkan sepenuhnya bulan lepas sebelum diserahkan secara rasmi kepada komuniti Kampung Sungai Imam hari ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Dewan Terbuka Masjid Babur Taqwa, di sini pada Jumaat.
Beliau berkata dua lagi projek turut dilaksanakan iaitu pembinaan dewan di Masjid Kampung Kuala Merotai serta penambahan sengkuap hias di Masjid Kampung Kijang, Merotai bagi meningkatkan keselesaan penduduk.
Majlis tersebut turut diisi dengan program gotong-royong memasak bubur lambuk anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sungai Imam dengan kerjasama Adabi yang mengagihkan kira-kira 800 pek kepada penduduk sekitar.
Program yang disertai Komuniti MADANI itu menyemarakkan semangat kebersamaan sepanjang Ramadan.
-RJ-





