
Laporan/foto: Elyas Hisyam Mat Zin/Azri Zainal Abidin
KUALA LUMPUR, 2 Mac (MalaysiaAktif) – Program Sumbangan Cermin Mata Belia Sekolah bertujuan mengenal pasti pelajar yang memerlukan bantuan masalah penglihatan agar dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih jelas dan berkesan.
Pengerusi Penganjur Program yang juga Pengerusi Majlis Belia Kawasan Titiwangsa Mohammed Nik Faisullah Reed, berkata ramai pelajar yang mempunyai masalah rabun tetapi tidak mendapatkan rawatan kerana kekangan kewangan.

Mohammed Nik Faisullah Reed, berkata ramai pelajar yang mempunyai masalah rabun tetapi tidak mendapatkan rawatan kerana kekangan kewangan.
“Melalui program ini, kami berharap mereka dapat belajar dengan lebih selesa dan meningkatkan prestasi akademik.
“Pemeriksaan awal mendapati ada pelajar yang selama ini sukar melihat papan putih dengan jelas, dan ini secara langsung menjejaskan tumpuan serta keputusan peperiksaan mereka. Cermin mata ini bukan sekadar alat bantuan penglihatan, tetapi pelaburan untuk masa depan pendidikan mereka,” katanya.
Seramai 30 pelajar daripada golongan B40 menerima sumbangan cermin mata percuma menerusi program anjuran Majlis Belia Kawasan Parlimen Titiwangsa dengan Kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia Wilayah Persekutuan di Madrasah Rajaiyah @ Surau Jawa, Kampong Bharu, di sini semalam.
Setiap pelajar yang layak telah menerima sepasang cermin mata lengkap mengikut preskripsi masing-masing. Program tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Bapa kepada pelajar yang menerima sumbangan tersebut, Shahlan Mohd Yunus, 57, berkata beliau menyambut baik inisiatif tersebut dan menyifatkannya sebagai satu usaha murni yang memberi impak besar kepada kebajikan pelajar.
“Dengan penglihatan yang lebih jelas, anak saya akan lebih fokus di dalam kelas dan yakin untuk belajar,” ujarnya.
Turut hadir Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan Khairul Rizam Datuk Abdul Samah, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Parlimen Titiwangsa Datuk Azizulrahman Mohd Hussain Malim, Pengurus Kawasan Pejabat Cawangan Parlimen Titiwangsa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Nur Jalilah Md Joha dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sungai Baru Mohd Ridzuan Yusof.
-RI





