Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Perkongsian Parkir Masjid, Gereja Cerminkan Perpaduan Lutong

By 2 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Philip Johnny (Miri)

MIRI, 2 Mac (MalaysiaAktif) – Masjid An-Naim dan Gereja Good Shepherd di Lutong menjadi simbol perpaduan apabila kedua-dua rumah ibadat itu berkongsi ruang parkir demi kemudahan jemaah masing-masing.

Lutong yang dikenali sebagai Pekan Minyak sejak pembinaan kilang penapis minyak pertama negara pada tahun 1914 kini turut dikenali dengan amalan toleransi antara komuniti setempat.

Setiap kali solat Jumaat, kawasan Gereja Good Shepherd dibuka bagi menampung kenderaan jemaah Masjid An-Naim.

Pada pagi Ahad pula, kawasan masjid digunakan sebagai ruang parkir jemaah gereja yang hadir beribadat.

“Di sini, kami tidak pernah berasa kekok kerana meletak kenderaan di kawasan gereja sudah menjadi kebiasaan dan perbezaan agama bukan penghalang untuk saling membantu,” kata jemaah Masjid An-Naim yang hanya mahu dikenali sebagai Nazarul ketika ditemui semalam.

“Apabila pihak masjid menyediakan ruang parkir untuk kami setiap pagi Ahad, itu tanda hormat yang amat bermakna dan kami mahu generasi muda melihat contoh ini sebagai asas keamanan,” kata jemaah Gereja Good Shepherd yang hanya mahu dikenali sebagai Donny, 46.

Amalan perkongsian ruang ini mencerminkan semangat toleransi dan saling menghormati yang telah lama menjadi budaya masyarakat setempat.

Model keharmonian tersebut memperlihatkan bahawa perpaduan bukan sekadar slogan, sebaliknya dipraktikkan melalui tindakan harian komuniti.

Semangat ini diharapkan terus dipelihara agar kekal menjadi identiti masyarakat Lutong dan Sarawak secara keseluruhan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda