
Laporan/foto: Philip Johnny (Miri)
MIRI, 2 Mac (MalaysiaAktif) – Program Miri Kita Sungkei Sama anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) julung kali diadakan bagi menyantuni komuniti serta memperkukuh hubungan masyarakat, di sini kelmarin.
Program yang berlangsung di Masjid An-Naim, Lutong itu dimeriahkan dengan gotong-royong menyediakan Bubur Pedas sebagai juadah tradisi Sarawak sempena Ramadan selain pengisian rohani dan majlis berbuka puasa berjemaah.

Chiew Choon Man (empat kiri) duduk berbuka puasa bersama komuniti sebagai simbol kebersamaan pada Program Miri Kita Sungkei Sama 2026.
“Apabila kita muliakan budaya, bahasa dan kepentingan semua, tiada sesiapa pun yang rugi kerana setiap individu berbeza namun mempunyai peranan masing-masing,” kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Chiew Choon Man ketika ditemui pada majlis tersebut.
Beliau turut menyeru rakyat terus bersatu dalam menjaga keamanan dan ekonomi negara bagi mengangkat martabat Malaysia di rantau ini menerusi semangat perpaduan yang kukuh.
Sesi penyerahan sumbangan Ramadan turut diadakan kepada lima persatuan tempatan sebagai tanda sokongan berterusan terhadap kesejahteraan komuniti.
Turut hadir Ketua Setiausaha MOTAC Dato’ Shaharuddin Abu Sohot dan Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah.
-RJ-





