
Laporan/foto: Intan Saziana/Abdul Muiz (Cameron Highlands)
CAMERON HIGHLANDS, 3 Mac (MalaysiaAktif) – Pesta Cahaya Pelita Raya yang berlangsung di Taman Pertabalan, Tanah Rata, di sini semalam berjaya menceriakan suasana malam dengan limpahan cahaya pelita sempena sambutan Aidilfitri yang bakal tiba.
Program anjuran Majlis Daerah Cameron Highlands dilaksanakan bertujuan untuk menyemarakkan semangat perayaan dalam kalangan masyarakat setempat, selain menarik kehadiran pengunjung untuk menikmati suasana malam yang meriah dan teratur.

Orang ramai turut hadir memeriahkan suasana Pesta Cahaya Pelita Raya di Taman Pertabalan Tanah Rata.
Menurut salah seorang penduduk tempatan, Wan Azmira Wan Abdul Jamal, 44, penganjuran program seumpama ini wajar diteruskan bagi memastikan kawasan awam sentiasa aktif dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh komuniti.
“Program seperti ini bukan sahaja menceriakan suasana bandar menjelang Aidilfitri, malah menjadi medium untuk mengeratkan hubungan antara jabatan, agensi dan masyarakat di daerah ini. Kita mahu Taman Pertabalan terus menjadi lokasi tumpuan yang selamat, kondusif dan menyatukan semua lapisan komuniti.
“Alhamdulillah, malam ini kita dapat melihat kemeriahan cahaya pelita di taman ini dan ramai yang hadir bagi memeriahkan suasana,” katanya.

Pertubuhan Perkumpulan Perempuan Daerah Cameron Highlands turut menghias reruai untuk dijadikan tempat bergambar.
Hiasan pelita yang dipasang secara kreatif dengan konsep tradisional kampung nyata menjadi tumpuan orang ramai serta menyerlahkan elemen warisan budaya tempatan.
Orang ramai tidak ketinggalan membawa ahli keluarga dan rakan-rakan untuk menyaksikan keindahan cahaya pelita serta merakam kenangan bersama.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai salah satu inisiatif memperkukuh semangat perpaduan komuniti dan memeriahkan sambutan Aidilfitri di daerah Cameron Highlands.
-RI





