Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Tapak Payang Moreh Tarikan Baharu Ramadan, Sambutan Luar

By 3 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nik Fatin Nik Hasri (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 3 Mac (MalaysiaAktif) – Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, malah menjadi medan rezeki buat peniaga kecil yang tidak melepaskan peluang menambah pendapatan.

Begitu juga di Tapak Payang Moreh, di sini yang kini muncul sebagai lokasi tumpuan baharu di Pasar Payang sejak malam pertama Ramadan apabila ia dibanjiri pengunjung yang tidak melepaskan peluang merasai pelbagai hidangan yang ditawarkan.

Antara gerai yang mencuri perhatian ialah Tulang Bross yang menampilkan kelainan menerusi menu roti cicah sup tulang sebagai hidangan utama.

Aroma sup tulang yang kaya dengan rempah ratus serta daging yang lembut nyata menggamit selera dan ditambah pula dengan roti lembut yang enak dinikmati ketika panas, gerai ini menjadi antara pilihan utama pengunjung.

Muhammad Ridzuan, berkata ini merupakan pengalaman pertama berniaga di Tapak Payang Moreh.

Pemilik gerai  Muhammad Ridzuan Mostapar, 27, menyifatkan penyertaan kali ini sebagai pengalaman pertama yang cukup bermakna buat dirinya.

“Saya tidak menyangka sambutan yang diterima begitu luar biasa. Aroma sup tulang yang kaya rasa serta daging yang lembut berjaya menarik pelanggan untuk mencuba, malah ada yang sanggup beratur bagi mendapatkan hidangan tersebut,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini semalam.

Menurutnya lagi, sambutan positif itu memberi suntikan semangat untuk terus berusaha dan menambah baik kualiti hidangan sepanjang Ramadan ini.

Tapak Payang Moreh dijangka akan terus menjadi pilihan warga bandar dan pelancong yang bukan sahaja memeriahkan suasana malam Ramadan di Kuala Terengganu malah turut membuka ruang kepada usahawan kecil untuk mengetengahkan produk masing-masing dengan kepelbagaian menu.

-RI

Tinggalkan komen anda