
Laporan/foto: Lim Poh Choo (Sarawak)
KUCHING, 3 Mac (MalaysiaAktif) – Tahun Kuda Api 2026 dalam kalendar lunar masyarakat Cina membawa simbol kekuatan, keberanian dan semangat baharu dalam mendepani cabaran semasa.
Dalam kepercayaan masyarakat Cina, kuda melambangkan ketangkasan dan daya juang tinggi yang menjadi inspirasi untuk terus melangkah ke hadapan.
Ungkapan ‘Ma Dao Cheng Gong’ menggambarkan harapan agar kejayaan diraih dengan pantas manakala ‘Long Ma Jing Shen’ melambangkan tenaga mampan serta semangat yang berterusan.

Elan Lee menyifatkan Tahun Kuda Api sebagai metafora kebangkitan dalam menghadapi cabaran kerjaya.
Tahun ini dilihat sebagai masa sesuai untuk menyusun strategi baharu, meningkatkan keyakinan diri dan berani merebut peluang dalam pelbagai bidang.
“Dalam suasana ekonomi yang dinamik dan transformasi digital yang pesat, saya berharap tahun ini menjadi titik lonjakan buat golongan profesional untuk lebih berani merebut peluang termasuk terlibat dalam projek berskala besar atau meneroka sektor yang berkembang demi kestabilan masa depan,” kata penjawat awam Elan Lee, 55, yang ditemui hari ini.
“Saya juga berharap pencapaian kerja bukan hanya tertumpu kepada KPI semata-mata tetapi membuka ruang kepada kemajuan, pengiktirafan dan tanggungjawab yang lebih besar,” tambahnya.
Tahun Kuda Api 2026 diharap menjadi pemangkin perubahan untuk memacu kejayaan dan melakar pencapaian lebih baik dalam kehidupan peribadi serta profesional.
-RJ-





