
Laporan/foto: Rahman Ishak/Facebook Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA, 4 Mac (MalaysiaAktif) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu penekanan terhadap kewujudan Pusat Anti-Scam Kebangsaan (NSRC) sebagai antara usaha dalam meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat berhubung jenayah scam.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dibangkitkan Anwar dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini yang berkongsikan hasil lawatan beliau ketika merasmikan pusat berkenaan di Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), di Cyberjaya semalam.
“Ada beberapa perkara yang perlu disusuli untuk meningkatkan kesedaran di (dalam) kalangan rakyat Malaysia mengenai pertama, Pusat Anti-Scam Kebangsaan itu sendiri dan bagaimana kita boleh memastikan sekiranya kita menjadi mangsa.
“Maka tindakan-tindakan pantas boleh diambil untuk menyelamatkan duit yang telah dicuri itu,” kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada sidang media mingguan Kerajaan MADANI, di sini hari ini.
Justeru, Fahmi berkata beliau berharap pihak media dapat memainkan peranan dalam membantu menguar-uarkan kewujudan NSRC.
“Dan kepada halayak umum sekiranya anda menjadi mangsa kepada aktiviti scam, segera telefon NSRC di talian 997,” katanya.
Menurut Jurucakap Kerajaan MADANI itu lagi mangsa penipuan tidak perlu membuat laporan polis secara berasingan kerana pihak polis, wakil bank komersial serta syarikat telekomunikasi kini ditempatkan di pusat berkenaan bagi mempercepatkan tindakan.
“Ini sudah pasti merupakan satu usaha yang akan dapat menyelamatkan lebih banyak duit rakyat insya-Allah,” katanya.
-RI





