Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Masjid Zahir Ikon Keindahan Seni Bina Islam di Kedah

By 5 Mac 2026Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zulkarnain Rodzi (Kedah)/Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) 

ALOR SETAR, 5 Mac (MalaysiaAktif) – Masjid Zahir, di sini yang menjadi mercu tanda utama bandar raya Alor Setar terus mengharumkan nama Kedah apabila sering disenaraikan sebagai antara masjid tercantik di dunia oleh pelbagai laman dan penerbitan pelancongan antarabangsa.

Masjid yang dibina pada tahun 1912 dan siap sepenuhnya pada 1915 itu bukan sahaja berfungsi sebagai masjid negeri, malah menjadi simbol kebanggaan umat Islam di negeri ini.

Keindahan seni bina berunsurkan Moor dan Mughal yang diketengahkan melalui lima kubah utama serta reka bentuk simetri bangunan menjadikan ia tarikan utama pelancong domestik dan luar negara.

Beberapa sumber pelancongan dan media antarabangsa menyebut Masjid Zahir sebagai antara 10 masjid tercantik di dunia berdasarkan nilai estetika, sejarah serta keunikan seni binanya.

Namun, pengiktirafan tersebut adalah berdasarkan senarai popular dan pilihan pelancongan, bukan melalui pengiktirafan rasmi badan antarabangsa seperti UNESCO.

Masjid Zahir, ikon Alor Setar yang memukau hati jemaah dan pelancong.

Dibina di atas tapak perkuburan wira Kedah yang gugur ketika mempertahankan negeri daripada serangan Siam pada abad ke-19, masjid ini turut mempunyai nilai sejarah yang tinggi.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Sultan Kedah pada 15 Oktober 1915, sekali gus menandakan bermulanya peranan penting masjid berkenaan sebagai pusat ibadah dan penyatuan ummah.

Sementara itu, tinjauan Malaysia Aktif mendapati masjid ini terus menjadi pilihan jemaah setempat termasuk golongan muda yang bekerja di sekitar bandar raya ini.

Muhd Amirul Shahir, 31, berkata beliau tetap memilih untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Zahir setiap minggu walaupun terdapat beberapa masjid lain yang lebih hampir dengan tempat kerjanya.

“Walaupun saya bekerja dengan syarikat swasta dan ada masjid yang lebih dekat dengan pejabat, saya tetap datang ke sini setiap Jumaat. Suasana dan ketenangan di Masjid Zahir ini sangat berbeza,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.

Menurutnya lagi, faktor sejarah dan keindahan seni bina masjid tersebut turut memberi nilai tambah kepada pengalaman ibadahnya.

“Bila kita tahu masjid ini ada sejarah yang panjang dan menjadi kebanggaan negeri Kedah, rasa lebih bermakna bila dapat solat di sini. Seni bina dan kubahnya juga sangat cantik,” ujarnya.

Selain menjadi lokasi utama solat Jumaat dan sambutan kebesaran Islam, Masjid Zahir juga terkenal sebagai tempat penganjuran Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri dan kebangsaan suatu ketika dahulu.

Kedudukannya yang terletak berhampiran kawasan institusi diraja dan bangunan warisan menjadikan ia antara ikon pelancongan dan keagamaan paling penting di Alor Setar.

Walaupun tiada pengiktirafan rasmi daripada badan tunggal antarabangsa, reputasi Masjid Zahir sebagai antara masjid tercantik di dunia terus diperkatakan dan menjadi kebanggaan rakyat Malaysia, khususnya warga Kedah.

-RI

Tinggalkan komen anda