
Laporan/foto: Faizzad Kamal (Batang Padang)
TAPAH, 7 Mac (MalaysiaAktif) – Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M. Saravanan menyalurkan sumbangan berjumlah RM65,000 kepada 20 masjid dan 90 surau di kawasan Parlimen itu sempena Ramadan.

Saravanan menyampaikan ucapan ketika merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan kepada masjid dan surau di Dewan Merdeka, Tapah.
Menerusi sumbangan tersebut, setiap masjid menerima RM1,000 manakala setiap surau termasuk Surau Diri Jumaat (SDJ) menerima RM500.
Saravanan berkata inisiatif tahunan itu telah dilaksanakan 2008 bagi membantu pihak pengurusan kariah menjalankan aktiviti sepanjang bulan al-Mubarak.
Katanya, walaupun berlainan agama, hubungan yang terjalin antara beliau dengan pihak masjid dan surau sentiasa erat berlandaskan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat.
“Ini memang budaya di Parlimen Tapah sejak saya menjadi wakil rakyat. Sama ada saya mempunyai jawatan dalam kerajaan atau tidak, amalan ini tetap diteruskan kerana hubungan kami sangat baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan itu di Dewan Merdeka, di sini semalam.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Mohamad Yusri Bakir, ADUN Chenderiang Choong Shin Heng serta Orang Besar Jajahan Batang Padang Datuk Mat Rasid Ayob.
-RI





