Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Sejambak Kasih Aidilfitri Serian Santuni 330 Penerima

By 12 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abdul Latip Shamsuddin (Serian)

SERIAN, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Seramai 330 penerima di daerah ini menerima sumbangan sempena Aidilfitri melalui Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri Serian yang berlangsung di Dewan Panggah, Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak, di sini kelmarin.

Program anjuran Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian itu menyaksikan 100 penerima hadir menerima sumbangan wang tunai serta hamper, manakala 230 penerima lain akan menerima bantuan yang dikreditkan terus ke akaun masing-masing.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata program tersebut merupakan komitmen berterusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam membantu meringankan beban golongan memerlukan membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Fatimah (tengah) menyampaikan inisiatif Kerajaan Sarawak kepada wakil Pusat Aktiviti Warga Emas Serian (PAWE).

“Berdasarkan rekod terkini, Bantuan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak bagi tempoh Januari hingga Disember 2025 mencatatkan sebanyak 57,073 kes dengan jumlah peruntukan RM299,791,550,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut di sini semalam.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Balai Ringin Datuk Snowdan Lawan berkata penganjuran majlis tersebut bukan sahaja acara tahunan, malah menjadi platform memastikan kebajikan rakyat Sarawak terus terpelihara.

“Program seperti ini membantu memastikan golongan yang memerlukan terus mendapat perhatian serta sokongan daripada kerajaan,” katanya.

Majlis turut menyaksikan penyampaian beberapa inisiatif Kerajaan Sarawak termasuk simbolik penerima Kenyalang Gold Card, Rakan Strategik Kenyalang Gold Card dan Senior Citizen Health Benefit.

Inisiatif lain yang turut disampaikan ialah bantuan kepada Pusat Aktiviti Warga Emas Serian (PAWE), Bantuan Perubatan (BP) serta Kad Orang Kurang Upaya (OKU).

Hadir sama Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Norhayati Abdul Rahman, Timbalan Residen Bahagian Serian Abdul Khalid Manap, ketua-ketua jabatan, ketua masyarakat serta wakil agensi berkaitan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda