
Laporan/Foto: Norhafiezah Abd Aziz/Abang Taufik bin Abang Razali
PENAMPANG, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan bukan sekadar program keagamaan tetapi juga platform penting untuk memperkukuh hubungan masyarakat di kawasan penempatan pelbagai kaum dan agama.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata program seumpama itu wajar diperluaskan supaya dapat menyantuni lebih ramai golongan memerlukan.
“Kawasan Kepayan merupakan kawasan masyarakat majmuk di mana umat Islam merupakan golongan minoriti,” katanya ketika merasmikan majlis itu di Kepayan, Penampang, pada Isnin.

Nizam ketika menghadiri Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan anjuran Pertubuhan Masyarakat Interaktif Suara Sabah (MISUR) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Cahaya Malaysia di Kepayan, Penampang.
Beliau berharap program ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan diperluaskan skopnya supaya lebih ramai golongan memerlukan dapat disantuni, bukan sahaja pada bulan Ramadan tetapi sepanjang tahun.
Program dianjurkan Pertubuhan Masyarakat Interaktif Suara Sabah (MISUR) itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tahunan bagi mendekati masyarakat setempat, khususnya golongan asnaf dan ibu tunggal.
Kerjasama dengan Pertubuhan Kebajikan Cahaya Malaysia membantu meringankan beban mereka menjelang Hari Raya Aidilfitri termasuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan anak-anak yatim di Penampang.
Salah seorang penerima sumbangan, Latipah Achin @ Abdul berkata bantuan yang diterima sedikit sebanyak membantu persiapan Hari Raya yang bakal menjelma.

Latipah salah seorang penerima sumbangan daripada golongan asnaf yang menerima bantuan sempena Majlis Iftar dan Sumbangan Ramadan di Kepayan, Penampang.
“Ini merupakan kali pertama saya menerima bantuan sebegini dan berasa terharu dengan sumbangan yang diberikan,” katanya.
Penerima bantuan daripada golongan OKU, Mohd Rafly Talib, berkata sumbangan itu membantu keluarganya membuat persiapan Hari Raya.
“Bantuan ini sangat membantu kami dan saya amat bersyukur serta berterima kasih kepada pihak penganjur atas keprihatinan yang diberikan,” katanya.
-RJ-





