
Laporan/Foto: Suhaime Sahirul
SIPITANG, 12 Mac (MalaysiaAktif) – Program World Quran Hour 2026 menjadi platform memperkukuh penghayatan terhadap al-Quran dalam kalangan masyarakat serta meningkatkan kefahaman isi kandungan kitab suci itu.
Program itu berlangsung di Masjid Imam Haji Hashim Pekan Sipitang dan sebahagian usaha mengimarahkan Ramadan selain meningkatkan penghayatan al-Quran bagi peserta yang hadir.
Ketua Cawangan Perpustakaan Sipitang, Radzata Abd Razak, berkata program berkenaan akan diteruskan secara konsisten bagi melahirkan generasi celik Al-Quran yang unggul.
“Tujuan diadakan di masjid ini bertepatan dengan tema kali ini iaitu membentuk manusia sebelum membina dunia,” katanya ketika ditemui semasa program tersebut di sini pada Rabu.
Beliau berkata program sebegini akan diteruskan demi memupuk penghayatan isi kandungan al-Quran serta meningkatkan amal ibadah pada bulan Ramadan.
Seramai 77 peserta termasuk ketua jabatan, kakitangan kerajaan dan orang awam menyertai program berkenaan bagi meningkatkan penghayatan dan amalan al-Quran sepanjang Ramadan.
Salah seorang peserta, Mohd Irwan Idris, 36, berkata program ini bermanfaat kerana mampu meningkatkan budaya membaca al-Quran serta mempelajari pembacaan secara teratur.
“Intipati al-Quran memberikan ilmu kepada pembaca dan saya berharap program ini dapat diteruskan pada tahun hadapan,” katanya.
-RJ-





