
Laporan/foto: Nur Syahida Che Rus (Yan)
YAN, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Program Jualan RAHMAH MADANI bersempena Hari Terbuka Pejabat Agama Daerah Yan dianjurkan bagi membantu masyarakat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran, sekali gus meringankan beban kos sara hidup khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Program yang diadakan di pekarangan tempat letak kereta Pejabat Agama Daerah Yan, semalam menerima sambutan hangat daripada penduduk setempat yang hadir mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih berpatutan.

Salmah tidak melepaskan peluang hadir di Jualan Rahmah MADANI bersempena Hari Terbuka Pejabat Agama Daerah Yan.
Melalui Jualan Rahmah MADANI yang diuruskan oleh Perniagaan Mutiara, pelbagai barangan termasuk makanan kering dan barangan basah ditawarkan kepada orang ramai dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus, memberi peluang kepada pengunjung membeli barangan keperluan harian pada harga yang lebih menjimatkan.
Selain jualan barangan keperluan, program ini turut menyediakan perkhidmatan Lembaga Kebajikan Negeri Kedah (LKZN) bergerak bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat serta khidmat berkaitan bantuan kebajikan yang disediakan oleh kerajaan negeri.
Salah seorang pengunjung, Salmah, 42, menyifatkan penganjuran program tersebut sebagai satu inisiatif yang sangat baik dalam membantu masyarakat, terutamanya menjelang musim perayaan.
“Program seperti ini sangat membantu kami mengurangkan beban perbelanjaan isi rumah, terutamanya apabila harga barang semakin meningkat. Saya berharap Jualan Rahmah MADANI dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa akan datang,” katanya.
-RI





