
Laporan/foto: Amran Mohamad Kamis (Baling)
BALING, 13 Mac (MalaysiaAktif) – Sentuhan Kasih Ramadan di Pusat Jagaan Ummu Sabariah, Pulai, di sini semalam bertujuan mengeratkan hubungan antara warga hospital dan komuniti di samping berkongsi rezeki dengan penghuni pusat jagaan yang terdiri daripada anak yatim, golongan miskin serta orang kurang upaya (OKU).

Dr. Selvanayagam ketika memberi ucapan.
Program anjuran Jawatankuasa Komiti Kebajikan Ketua Penyelia Jururawat Hospital (KPJH) Hospital Baling itu juga sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyantuni golongan memerlukan sepanjang bulan Ramadan.
Pengarah Dr. Selvanayagam Shanmuganathan dalam ucapannya, menzahirkan rasa syukur kerana warga Hospital Baling berpeluang menyantuni serta berkongsi kegembiraan bersama penghuni pusat jagaan berkenaan.
“Program seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara warga hospital dan komuniti, malah menyemai nilai kasih sayang, empati dan keikhlasan dalam kalangan warga kerja,” katanya.
Antara pengisian utama program termasuk sesi ramah mesra bersama penghuni, penyerahan sumbangan kebajikan kepada pihak pengurusan pusat jagaan, serta pemberian sumbangan peribadi kepada para penghuni bagi menceriakan suasana Ramadan dan membantu mereka membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

Sebahagian Jawatankuasa Komiti Kebajikan Ketua Penyelia Jururawat Hospital (KPJH) yang hadir.
Pusat Jagaan Ummu Sabariah yang terletak di Kampung Charok Sik merupakan sebuah pertubuhan kebajikan anak yatim yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan serta mendapat kelulusan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah.
Pusat ini aktif menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan sosial dan pendidikan bagi membantu anak-anak yatim, golongan kurang berkemampuan serta individu OKU.
-RI





