
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Golongan OKU penglihatan di Sabah berpeluang mempelajari al-Quran melalui kelas Braille percuma anjuran Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Negeri Sabah.

Nur Shahieda menunjukkan kaedah pembelajaran pengenalan huruf hijaiyah menggunakan Edu-Braille kepada pengunjung.
Inisiatif tersebut bertujuan meningkatkan keyakinan diri serta kebolehan berdikari golongan berkenaan terutama dalam mendalami ilmu al-Quran menggunakan papan pengatur Edu-Braille.
Bendahari PERTIS Negeri Sabah Nur Shahieda Eddie berkata pihaknya memperkenalkan pelbagai aktiviti dan modul untuk OKU penglihatan di beberapa daerah termasuk kawasan pantai timur Sabah.
“Aktiviti utama ialah kelas pengajian al-Quran Braille yang dijalankan secara fizikal di beberapa daerah seperti Kota Kinabalu, Putatan, Tuaran, Lahad Datu, Tawau, Semporna dan Sandakan,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini kelmarin.
Nur Shahieda menjelaskan kelas secara dalam talian turut disediakan bagi daerah yang belum mempunyai kelas fizikal untuk memastikan tiada yang ketinggalan.
Beliau berkata program di bawah PERTIS itu terbuka kepada semua OKU penglihatan tanpa syarat umur dengan jumlah pelajar setakat ini seramai 120 orang.

Rohani (tiga dari kiri) bersama rakan-rakannya mengunjungi reruai PERTIS.
Nur Shahieda memaklumkan kumpulan pelajar tersebut terdiri daripada pelbagai lapisan usia bermula seawal umur enam hingga 70 tahun.
Seorang pengunjung Rohani Ramli, 40, berkata kaedah pembelajaran Braille perlu diberi lebih banyak pendedahan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai.
“Kita baru tahu al-Quran ada dalam bentuk Braille untuk orang OKU penglihatan di Sabah agar mereka tidak ketinggalan dalam menimba ilmu,” katanya.
-RJ-





