
Laporan/foto: Daniel Jong/Budin Gumbang (Kapit) /Mathilda Sempon /Chong Fei Foo (Julau)
KUCHING, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 terus mendapat maklum balas positif daripada masyarakat yang menyifatkan bantuan tersebut membantu meringankan kos sara hidup.
Di KAPIT, Timbalan Menteri Digital Wilson Ugak Kumbong menekankan kepentingan pendigitalan dalam urusan harian selaras dengan usaha kerajaan negeri memperkasa masyarakat digital.
Wilson menyarankan penduduk setempat agar memanfaatkan penggunaan aplikasi SPay Global bagi memudahkan pelbagai urusan kewangan termasuk penyaluran bantuan kerajaan.

Wilson Ugak menyarankan penduduk setempat agar memanfaatkan penggunaan aplikasi SPay Global untuk memudahkan urusan kewangan.
“SPay Global merupakan ekosistem digital serba lengkap yang memudahkan urusan pembelian serta pembayaran bil dengan cara yang lebih cekap,” katanya ketika merasmikan majlis tersebut di Bukit Mabong, semalam.
Seorang penerima Ensuna Mujau, 43, memberitahu bantuan tersebut sedikit sebanyak membantu menampung perbelanjaan bulanan keluarganya.
Penerima lain Roland Jelian, 24, turut menyifatkan SKAS 2026 sebagai inisiatif yang relevan dengan keadaan ekonomi semasa khususnya bagi penduduk di kawasan pedalaman.
Sementara itu di JULAU, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Rolland Duat Jubin menyempurnakan majlis pelancaran program tersebut yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan di kawasan luar bandar.

Rolland menyampaikan amanat mengenai kepentingan bantuan SKAS 2026 dalam memperkasa kebajikan masyarakat luar bandar semasa majlis pelancaran di Julau, hari ini.
Rolland menegaskan pelaksanaan SKAS 2026 mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian melalui bantuan keperluan asas.
Penerima Elizabeth Busing, 60, meluahkan rasa bersyukur kerana masih berpeluang menerima bantuan tersebut bagi membantu menampung perbelanjaan harian.
Seorang lagi penerima bagi kategori isi rumah Chong Mee Ling, 22, berkata bantuan itu dimanfaatkan sebaiknya untuk memenuhi keperluan keluarga termasuk membeli bekalan susu anak.

Chong Mee Ling memberitahu bantuan tersebut dimanfaatkan sebaiknya untuk memenuhi keperluan keluarganya.
Pelaksanaan SKAS 2026 membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi.
-RJ-





