
Laporan/foto: Evelyn Anak Edward Sini (Kapit)
KAPIT, 16 Mac (MalaysiaAktif) – Program Berbuka Puasa anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kawasan Selatan Kapit berjaya menghimpunkan komuniti penghuni Kuarters Kerajaan Persekutuan Jalan Puan Sri Tiong, kelmarin.
Program yang berlangsung di sebuah restoran tempatan itu disertai kira-kira 40 peserta terdiri daripada penjawat awam pelbagai latar belakang agama serta bangsa.
Pengerusi KRT Kawasan Selatan Kapit Ariffin Untong berkata penganjuran program tersebut bertujuan memperkukuh semangat kekeluargaan serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli.
Beliau menjelaskan kehadiran masyarakat pelbagai kaum pada majlis tersebut mencerminkan semangat perpaduan yang kukuh dalam komuniti setempat.
“Kepelbagaian kaum yang hadir pada majlis ini mencerminkan semangat perpaduan yang terjalin,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan.
Ariffin merancang untuk melaksanakan lebih banyak aktiviti pada masa hadapan bagi meraikan kepelbagaian budaya agar keharmonian komuniti terus terpelihara.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Perpaduan Bahagian Kapit atas sokongan serta bantuan teknikal dalam memastikan setiap program KRT dilaksanakan dengan jaya.
-RJ-





