
Laporan/foto: Mohd Sukri Ibrahim (Terengganu)
DUNGUN, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Penganjuran gotong-royong kacau bubur lambuk oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Daerah Dungun bukan sahaja menyemarakkan semangat muafakat, malah menjadi platform berkesan dalam mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dan komuniti pekebun kecil.
Sepanjang program berlangsung, suasana kerjasama jelas terpancar apabila beberapa agensi termasuk Pejabat Penerangan Daerah, Pejabat Hutan, Pejabat Pertanian, Pejabat Tenaga Buruh serta Sekolah Kebangsaan Bandar Dungun berganding bahu bersama komuniti setempat.
Pegawai RISDA Daerah Dungun, Mohamed Nur Azeem Hanuar berkata program seperti ini mampu memperkukuh jaringan kerjasama selain memudahkan penyampaian maklumat dan perkhidmatan kepada masyarakat.
“Program ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih banyak agensi bagi mengeratkan lagi hubungan baik antara kerajaan dan komuniti,” katanya.
Dalam program julung kali itu, sebanyak tiga periuk besar bubur lambuk dimasak secara gotong-royong dengan setiap kumpulan menyediakan resipi tersendiri sebelum diagihkan kepada peserta dan masyarakat sekitar.
-RI





