
Laporan/foto: Mohd Suhaidi Mat Jusoh (Tanah Merah)
TANAH MERAH, 17 Mac (MalaysiaAktif) – Keselamatan pengguna jalan raya terus diberi keutamaan terutama ketika musim perayaan susulan peningkatan jumlah kenderaan yang meningkatkan risiko kemalangan, khususnya di laluan utama dan kawasan tumpuan.

Pegawai AADK Tanah Merah Nik Anisah Yusuf mengedarkan risalah kepada pengguna jalan raya
Seorang pengguna jalan raya, Maszuri Yusof, 56, dari Kadok, Kota Bharu berkata pengguna wajar mematuhi peraturan serta peka terhadap papan tanda keselamatan di sepanjang jalan.
“Setiap musim perayaan jalan raya pasti sesak dan ada kenderaan dipandu laju. Pematuhan undang-undang amat penting bagi mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.
Maszuri ditemui Malaysia Aktif pada Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Musim Perayaan Tahun 2026 di hadapan Stesen Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Bukit Bunga.
Program berkenaan dianjurkan Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Kelantan dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Jajahan Tanah Merah serta agensi keselamatan bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai agar sentiasa berhati-hati, mematuhi undang-undang jalan raya serta mengamalkan pemanduan berhemah.
Dalam pada itu, Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Tanah Merah, Amira Diana Ishak berkata pihaknya sentiasa bersiap siaga membantu kawalan lalu lintas bagi memastikan perjalanan pengguna lebih lancar dan selamat.
-AA-





