
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 18 Mac (MalaysiaAktif) – Bazar Ramadan Bandar Baharu menghimpunkan pelbagai juadah dari tiga negeri iaitu Kedah, Perak dan Pulau Pinang, sekali gus menjadi tumpuan orang ramai sepanjang bulan Ramadan.

Bazar Ramadan Bandar Baharu menggabungkan pertemuan tiga daerah iaitu Bandar Baharu, Kerian dan Nibong Tebal
Lebih 200 gerai beroperasi di Dataran Bandar Baharu dengan menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman termasuk menu tradisional, hidangan popular serta makanan viral yang menjadi kegemaran pengunjung.
Keunikan bazar ini terletak pada kepelbagaian juadah rentas negeri seperti lauk-pauk kampung, aneka kuih-muih tradisional serta minuman segar yang hanya muncul pada bulan Ramadan.
Tinjauan Malaysia Aktif mendapati bazar tersebut bukan sahaja menjadi lokasi mendapatkan juadah berbuka puasa, malah menarik pengunjung dari luar kawasan yang hadir bersama keluarga dan rakan-rakan.
Kehadiran peniaga dari pelbagai negeri serta pilihan makanan yang pelbagai menjadikan Bazar Ramadan Bandar Baharu antara destinasi popular di kawasan utara sepanjang Ramadan.
-AA-






