
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SIMANGGANG, 21 Mac (MalaysiaAktif) – Pengusaha ‘Lemang Pak Jamal’ di Kampung Hulu Lemanak mula mengehadkan tempahan kepada 500 batang lemang sehari bagi memenuhi permintaan tinggi menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri di daerah ini.
Samsurin Jamaludin, 31, berkata jumlah tersebut merupakan had maksimum yang ditetapkan bagi memastikan kualiti dan aroma autentik lemang santan aslinya kekal pada tahap terbaik.
“Kami mengehadkan sekitar 500 batang untuk hari raya pertama mengikut kemampuan tenaga kerja, namun permintaan setiap tahun lazimnya melebihi jumlah tersebut termasuk daripada pelanggan walk-in,” katanya ketika ditemui kelmarin.

Samsurin Jamaludin, 31, memastikan kualiti 500 batang lemang tempahan pelanggan terjaga dengan mengekalkan penggunaan santan asli dan pembakaran kayu api tradisional.
Menurut Samsurin, proses pembakaran lemang bermula seawal jam 4.00 pagi dan operasi tersebut akan diteruskan sehingga 30 Syawal bagi memenuhi permintaan sepanjang bulan perayaan.
Meskipun berdepan kenaikan kos bahan mentah yang ketara, beliau tetap komited mengekalkan harga jualan antara RM12 hingga RM16 sebatang mengikut saiz.
“Harga santan kini mencecah RM15 sekilogram manakala beras pulut melebihi RM400 seguni (100kg). Bagaimanapun, kami kekalkan harga lama demi memahami situasi ekonomi masyarakat pada hari lebaran,” jelasnya lagi.
Sementara itu, seorang pelanggan setia, Awang Putrayusrie Awang Reduan, 53, berkata keistimewaan lemang tersebut terletak pada penggunaan santan asli dan kaedah pembakaran tradisional menggunakan kayu api.

Awang Putrayusrie (dua kiri) mengakui aroma santan asli dan keunikan rasa Lemang Pak Jamal kendalian Samsurin Jamaludin menjadikannya pilihan utama setiap kali menjelang Syawal.
“Lemang ini mempunyai rasa asli yang sukar ditandingi. Selain itu, usaha ini turut memberi peluang pekerjaan kepada belia kampung dan menyokong rantaian ekonomi setempat,” katanya yang telah melanggan selama lima tahun.
Perusahaan yang diwarisi sejak lebih 20 tahun lalu ini turut menjadi simbol perpaduan unik di Sri Aman apabila turut mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat bukan Islam ketika sambutan Tahun Baru Cina, Gawai, dan Krismas.
Bagi menyokong komuniti tempatan, Samsurin turut mendapatkan bekalan buluh daripada penduduk sekitar pada harga RM2 sebatang sebagai sebahagian daripada usaha menjaga ekonomi setempat.
-RJ-





