Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Sambutan Hari Polis Ke-219 Perkukuh Integriti, Hubungan Masyarakat Sarawak

By 26 Mac 2026Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Iswandi Kassim/Nor Hidayah Ismail/Janica Jasmine /Tarmizi Karnain/ Mathilda Sempon/Chong Fei Foo (Sarawak)

KUCHING, 26 Mac (MalaysiaAktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) di beberapa daerah di Sarawak menegaskan komitmen memperkukuh integriti serta hubungan erat dengan masyarakat sebagai tunjang utama keamanan negara semalam.

Yakub (tiga kiri) menyempurnakan Upacara Memotong Kek Hari Polis ke 219 bersama ADUN Tellian, Royston Valentine (tiga kanan) bersama tetamu kehormat yang lain.

Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 yang diadakan secara serentak di Mukah, Julau, Sri Aman dan Meradong itu menekankan aspek profesionalisme dalam setiap penugasan anggota.

Di Mukah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balingian Abdul Yakub Arbi berkata Hari Polis merupakan simbol penghargaan terhadap pengorbanan besar warga PDRM yang sentiasa bersedia berhadapan pelbagai risiko keselamatan.

“Di sebalik keamanan yang dinikmati hari ini, terdapat komitmen tinggi anggota polis dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan undang-undang negara,” katanya.

Abdul Yakub menjelaskan kerjasama aktif antara polis dan komuniti amat penting bagi membanteras jenayah yang semakin kompleks termasuk penipuan dalam talian.

Alif Haiqal menyerahkan sijil penghargaan Anugerah Konsistensi dan Komitmen Terbaik kepada Pengerusi PERKEP.

Sementara itu di Julau, Ketua Polis Daerah DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah menyeru warga jabatan mengekalkan disiplin dan integriti tinggi bagi menjamin keyakinan pemegang taruh terhadap pasukan.

Alif Haiqal menegaskan pendekatan keselamatan masyarakat merupakan tugas teras PDRM bagi memastikan ketenteraman awam di daerah tersebut sentiasa terpelihara.

Dalam perkembangan berkaitan di Sri Aman, Ketua Polis Daerah Supt. Dennis Bunyam memaklumkan sebanyak 103 kes berkaitan dadah direkodkan di daerah itu bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini.

“Pesalah yang disabitkan kesalahan menggunakan dadah secara berulang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun serta sebatan,” katanya selepas merasmikan perhimpunan di IPD Sri Aman, hari ini.

Dennis menyatakan situasi kes dadah di daerah tersebut masih terkawal hasil penguatkuasaan agresif melalui operasi Ops Tapis Khas secara berterusan.

Tansli menyampaikan amanat pemerkasaan integriti pasukan pada majlis Sambutan Hari Polis Ke-219 di Meradong, semalam.

Beliau turut menyempurnakan majlis pemakaian pangkat kepada tiga pegawai rendah polis serta penyampaian sijil penghargaan kepada anggota yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Di Meradong, Ketua Polis Daerah DSP Tansli Mering menegaskan PDRM kekal komited menjadikan keselamatan komuniti sebagai agenda utama melalui tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’.

Tansli turut menyampaikan surat penghargaan kepada lima individu awam atas kerjasama membantu pihak polis membanteras aktiviti jenayah di daerah tersebut.

-RJ-

Tinggalkan komen anda