Skip to main content
Berita TempatanSabah

Keunikan Batu Gong Pacu Ekopelancongan Di Tambunan

By 26 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Jaimis Kunjan/Leornad Desmond (Tambunan)

TAMBUNAN, 26 Mac (MalaysiaAktif) – Batu Gong di Kampung Solibog kekal menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negara melalui keunikan semulajadi yang mampu menghasilkan bunyi gong apabila diketuk.

Pengerusi Ekopelancongan Nagas Komuniti Kampung Nagas Peamlee Philip berkata kawasan tersebut sering dikunjungi pelawat kerana nilai sejarah warisan turun-temurun yang menarik minat pencinta sejarah.

Peamlee menjelaskan pihaknya akan memperkenalkan trek baharu dikenali sebagai Batu Lajau bagi memberikan pengalaman lebih menarik buat pengunjung dalam masa terdekat.

Peamlee (kiri) menunjukkan logo baharu bagi mempromosikan trek Batu Lajau di Kawasan Ekopelancongan Nagas Komuniti Kampung Solibog, semalam.

“Trek Batu Lajau diperkenalkan sebagai penghormatan kepada seorang penduduk lama yang dikatakan memiliki susuk tubuh luar biasa serta pernah mengangkat batu besar tersebut,” katanya kepada Malaysia Aktif semalam.

Beliau berkata tapak berkenaan kini menjadi sebahagian daripada cerita rakyat tempatan yang bakal diterokai pelawat dalam pengalaman ekopelancongan di kawasan tersebut.

Peamlee menambah keindahan alam semula jadi di Kampung Solibog turut membantu memperkukuh sektor pelancongan setempat sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi komuniti.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas penyaluran peruntukan bagi menaik taraf kemudahan pelancongan di Kampung Solibog melalui Pejabat Daerah Tambunan.

Pengunjung tempatan melihat keunikan fizikal Batu Gong yang mampu mengeluarkan bunyi unik apabila dipukul di Kawasan Ekopelancongan Nagas Komuniti Kampung Solibog, semalam.

Seorang penduduk Cillus Kilimun, 43, memaklumkan Batu Gong mula ditemui sekitar tahun 1995 secara tidak sengaja ketika kerja penyelenggaraan tebing Sungai Pagalan dilakukan.

“Batu ini ditemui apabila penduduk kampung memukulnya dan mendapati ia mengeluarkan bunyi unik dengan penemuan batu pertama yang dikenali sebagai Ibu Batu,” katanya.

Cillus menjelaskan batu tersebut kini ditempatkan di pondok khas dalam Kawasan Ekopelancongan Nagas Komuniti Kampung Solibog bagi memudahkan kunjungan pelawat.

Kawasan ekopelancongan tersebut beroperasi setiap Isnin hingga Sabtu bermula 8 pagi manakala pada hari Ahad dibuka bermula jam 12 tengah hari.

-RJ-

Tinggalkan komen anda