
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)/IPD Mukah
MUKAH, 29 Mac (MalaysiaAktif) – Program solat Jumaat dan khutbah khas sempena Hari Polis ke-219 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah berlangsung di Masjid Setia Raja Mukah semalam sebagai tanda kesyukuran atas jasa warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Program itu menghimpunkan kira-kira 1,500 jemaah terdiri daripada pegawai, anggota polis dan masyarakat setempat.
Khutbah bertemakan ‘Istiqamah Melaksanakan Ketaatan, Bekerjasama Menjaga Keamanan’ disampaikan oleh Sapuan Hip yang bertindak sebagai khatib dan imam.
Wakil Ketua Polis Daerah Mukah ASP Mohd Redewan Ag Dahlan berkata penganjuran program itu bertujuan menzahirkan rasa syukur serta mendoakan kesejahteraan warga pasukan keselamatan.

Mohd Redewan menyampaikan cenderamata kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Setia Raja Mukah, Jaafar Zaini.
“Program ini turut menjadi platform memperkukuh hubungan antara warga PDRM dan masyarakat setempat melalui penglibatan dalam aktiviti keagamaan,” katanya ketika ditemui di Masjid Setia Raja Mukah, di sini kelmarin.
Menurut Mohd Redewan, jemaah turut memanjatkan doa agar anggota PDRM dikurniakan kecekalan dan ketabahan dalam menghadapi cabaran tugas.
-RJ-





