
Laporan/foto: Florinah Lunsin (Kudat)
KUDAT, 29 Mac (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan had pembelian minyak dan pengekalan subsidi diesel di Sabah menerima reaksi positif dalam kalangan masyarakat di Kudat.

Norfidah memberi maklum balas terhadap pelaksanaan had pembelian minyak semasa tinjauan di sekitar pekan Kudat, baru-baru ini.
Langkah itu dilihat membantu menstabilkan kos sara hidup terutama bagi pengguna di kawasan luar bandar.
Penyelia stesen minyak Norfidah Mohd Abbas berkata pengurangan had pembelian minyak kepada 200 liter sebulan masih mencukupi bagi kegunaan harian.
“Langkah ini (had pembelian minyak bersubsidi RON95) mungkin memberi kesan kepada individu yang kerap melakukan perjalanan jauh tetapi ia juga dapat mengelakkan pembaziran penggunaan bahan api.
“Namun, pada masa sama pengekalan harga diesel di Sabah adalah langkah yang signifikan dalam membantu menstabilkan harga barangan memandangkan negeri ini bergantung kepada pengangkutan darat terutama di kawasan pedalaman,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif semasa tinjauan di sekitar pekan Kudat, di sini pada Jumaat.

Napson Tahir memberi pandangan mengenai pengekalan subsidi diesel semasa tinjauan di sekitar pekan Kudat.
Pengurus stesen minyak Napson Tahir juga berpendapat pengekalan harga diesel pada kadar RM2.15 seliter membantu rakyat di Sabah.
“Sebagai rakyat kita sedar kerajaan perlu menanggung kos subsidi yang tinggi dan sebarang kenaikan harga perlu diselaraskan secara berperingkat,” katanya.
Beliau berkata penguatkuasaan kawalan subsidi juga perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan ketirisan termasuk aktiviti penyeludupan.
-RJ-





