
Laporan/foto: Radiah Rahim (Pahang)
KUANTAN, 1 Apr (MalaysiaAktif) – Keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 membuka ruang buat pelajar merancang masa depan dalam bidang profesional.

Aiman Wong bersama keluarga merakamkan kenangan bergambar dengan pengetua (kanan sekali).
Bagi Aiman Wong Adam Wong, 18, beliau kini mempertimbangkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan atau perubatan berdasarkan minat yang mendalam terhadap kedua-dua bidang tersebut.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan keputusan ini. Saya minat kejuruteraan kerana teknologi dan inovasi, namun pada masa sama saya juga berminat dalam bidang perubatan untuk bantu masyarakat.
“Kejayaan saya hari ini merupakan hasil usaha yang berterusan selain sokongan guru dan keluarga,” kongsinya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025, Sekolah Menengah (P) Methodist, di sini semalam.

Aiman (dua dari kanan) bergambar bersama Pengetua (tengah) dan pelajar yang memperolehi keputusan 9A, 8A dan 7A.
Menurut ibunya, Rohana Sulaiman, 43, mereka sekeluarga berharap Aiman dapat menyertai Program Young Talent Development Programme (YTP) 2026 anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi melanjutkan pengajian perubatan di Mesir.
Bapanya, Adam Abdullah, 45, turut melahirkan rasa bangga atas pencapaian anaknya dan menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil disiplin serta kesungguhan dalam pelajaran.
“Kami sentiasa menyokong dan berharap Aiman terus berjaya,” katanya.
Kejayaan Aiman diharap menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
-RI





