
Laporan/foto: Syahrulizan Madian (Daro)
DARO, 1 Apr (MalaysiaAktif) – Sikap tidak terlalu memilih pekerjaan dalam kalangan belia menjadi kunci kepada kelangsungan hidup yang lebih bermakna demi mencari rezeki halal.
Membuktikan prinsip itu, dua anak muda tempatan di sini iaitu Syahdan Semadi dan Mohd Zulhelmi Sulaiman memilih bekerja sebagai tukang cuci kereta di Aris Car Wash sebagai sumber pendapatan utama.

Syahdan tekun menjalankan tugas membersihkan sebuah kenderaan yang dihantar ke premis mereka.
Menurut dua anak muda ini, pekerjaan tersebut yang hanya beroperasi di sebuah bangunan kecil menjadi sandaran bagi menyara kehidupan serta membantu keluarga masing-masing setelah kedua-duanya tetap memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat sekitar Daro.
Syahdan, 19, berkata pekerjaan tersebut bukan sahaja menjana pendapatan harian malah membentuk disiplin diri serta rasa tanggungjawab.
“Kami lebih rela bekerja sebagai tukang cuci kereta daripada terlibat dalam perkara yang menyalahi undang-undang atau kegiatan tidak bermoral,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Mohd Zulhelmi, 28, menekankan kepentingan layanan mesra dan kualiti perkhidmatan dalam memastikan kepuasan pelanggan sentiasa terjamin.
“Kebanyakan pelanggan kembali mendapatkan perkhidmatan kami kerana berpuas hati dengan kualiti cucian yang disediakan,” katanya sambil menambah antara lima hingga 10 buah kenderaan dicuci oleh mereka pada setiap hari.
Beliau berpandangan pekerjaan tersebut tetap memberi nilai dalam membentuk jati diri walaupun tidak dipandang hebat seperti kerjaya lain.
Kisah dua belia ini menjadi contoh kepada golongan muda agar sentiasa berusaha mencari rezeki yang halal serta menjauhi kegiatan negatif.
-RJ-





