Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Hafiz 30 Juzuk SMKA Tok Bachok Ungguli SPM Kelantan Dengan 12A+

By 2 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar (Bachok)

BACHOK, 2 April (MalaysiaAktif) – Hafiz 30 juzuk al-Quran dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok dinobat Pelajar Terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 Peringkat Negeri Kelantan apabila memperoleh keputusan cemerlang 12A+.

Pengetua SMKA Tok Bachok, Mohd Fadhli Jusoh meraikan kejayaan pelajar cemerlang SPM 2025

Muhammad Izz Darwisy Zamani, 18, berkata amalan menghafal al-Quran sejak Tingkatan Tiga itu membantu mengukuhkan daya ingatannya serta memudahkan penguasaan akademik.

“Saya mengamalkan pembelajaran secara konsisten, memperbanyakkan doa serta solat tahajud. Sepanjang minggu peperiksaan, kami turut membaca Surah Yasin untuk ketenangan,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini semalam.

Pelajar aliran sains tulen itu berkata kejayaannya turut terinspirasi daripada ibu, Mas Atika Mansor yang tidak dapat mengejar impiannya untuk menjadi doktor akibat masalah kesihatan.

Beliau berkata semangat dan pengorbanan ibunya menjadi pembakar motivasi untuk berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya mencapai kecemerlangan dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Berstatus Sekolah Kluster Kecemerlangan, SMKA Tok Bachok menyerlah melalui pelaksanaan Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) yang menggabungkan kecemerlangan akademik dan hafazan al-Quran.

Sekolah itu turut tersenarai dalam kelompok 20 SMKA terbaik SPM 2025 di kedudukan ke-12 dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 2.13.

-RI

Tinggalkan komen anda