
Laporan/foto: Nur Izzah Insyirah (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 2 Apr (MalaysiaAktif) – Kampung Losong bukan sahaja sinonim dengan kerepok lekor, malah turut menempatkan sebuah khazanah berharga iaitu Rumah Warisan Haji Su yang menonjolkan keindahan seni bina tradisional Melayu serta nilai warisan yang tinggi.

Rumah Warisan Haji Su kini menjadi antara destinasi pelancongan warisan utama di Terengganu.
Rumah warisan ini menampilkan gabungan seni bina Rumah Bujang Berpeleh dan Rumah Limas Belanda atau Potong Belanda, sekali gus menyerlahkan struktur kayu yang kukuh, bumbung tinggi serta ukiran halus yang mencerminkan identiti dan falsafah hidup masyarakat Melayu terdahulu.
Rumah ini dibina di Kampung Losong Haji Su dan dimiliki oleh Su Mohammed Salleh Mohamad atau lebih dikenali sebagai Haji Su.
Seorang pengunjung, Nur Aisyah Mohd Razali, 27, berkata lawatannya ke rumah tersebut membuka perspektif baharu terhadap keindahan seni bina tradisional.
“Selama ini saya hanya melihat rumah tradisional dalam gambar sahaja. Tetapi apabila datang sendiri, saya dapat merasai keunikan dan ketelitian ukiran kayu yang sangat halus. Ia membuatkan saya lebih menghargai warisan nenek moyang kita,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, di sini baru-baru ini.

Dalaman rumah dengan perincian ukiran halus yang menggambarkan identiti dan falsafah hidup orang Melayu.
Kakitangan Muzium Negeri Terengganu Mohd Faizal Abdullah berkata usaha konservasi oleh Lembaga Muzium Negeri Terengganu pada 2008 bagi tujuan pengambilalihan serta pemuliharaan penting bagi memastikan keaslian struktur rumah terus terpelihara.
“Proses konservasi dilakukan dengan teliti untuk mengekalkan struktur asal rumah. Ia bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi lambang kemahiran, kreativiti dan identiti masyarakat Melayu yang perlu dipertahankan,” katanya.
-RI





