
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 2 April (MalaysiaAktif) – Polis menahan 15 lelaki tempatan kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah di sekitar bandar ini dan Maludam, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sri Aman Supt Dennis Bunyam berkata mereka yang ditahan positif dadah jenis syabu hasil ujian saringan air kencing.
“Sebanyak 18 kertas siasatan dibuka melibatkan tiga kes di bawah Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki syabu dan 15 kes di bawah Seksyen 15 (1) (a) akta sama kerana menggunakan dadah.
“Ketiga-tiga kes di bawah Seksyen 12 (2) tersebut akan dituduh di Mahkamah Majistret Sri Aman dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti yang menggugat keselamatan awam dan akan terus mempergiat usaha membanteras dadah bagi memastikan keharmonian masyarakat terjamin.
-RI





