Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

JIM Johor Tahan 35 PATI Bekerja Tanpa Dokumen Sah

By 3 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Shah Hood/Media Korporat JIM Johor

JOHOR BAHRU, 4 April (MalaysiaAktif) – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 35 pendatang tanpa izin (PATI) yang dipercayai bekerja di premis tempatan tanpa dokumen sah, 31 Mac lepas.

PATI yang ditangkap dibawa menaiki lori Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Pengarahnya Dato’ Mohd Rusdi Mohd Darus berkata operasi di Senai itu membabitkan Op Selera, Op Kutip, Op Belanja dan Op Sapu dengan dibantu Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).

“Operasi dijalankan serentak ke atas beberapa premis perniagaan dalam sektor perniagaan seperti kedai runcit, kedai menjual permaidani, premis perniagaan dan makanan yang dikenal pasti menggaji atau menjadi tempat berkumpul warga asing tanpa dokumen sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mereka yang ditahan katanya terdiri daripada lelaki dan wanita warga Indonesia, Myanmar, Pakistan, Bangladesh dan Nepal, berusia 19 hingga 52 tahun, dipercayai bekerja atau menjadi pelanggan di premis berkenaan.

Pemeriksaan dokumen dijalankan ke atas premis bagi mengesan PATI dan majikan degil.

“Kesemua yang ditahan dsyaki telah melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata orang awam berperanan penting membantu operasi sedemikian dan maklumat yang disalurkan membolehkan operasi dijalankan dengan lebih berkesan.

“JIM Johor menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap warga asing yang melanggar syarat pas atau tinggal di negara ini secara haram, termasuk majikan dan pihak yang didapati melindungi, menggaji atau bersuhabat dengan PATI,” katanya.

-RI

Tinggalkan komen anda