
Laporan/foto: Khairunnisa Abd Rahman (Melaka Tengah)/Majlis Perbandaran Jasin
SUNGAI UDANG, 3 April (MalaysiaAktif) – Projek Waste to Energy (WtE) Sungai Udang bakal menjadi loji merawat dan mengubah sisa pepejal kepada tenaga boleh diperbaharui kedua di Malaysia.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata projek yang menggabungkan teknologi dan kecekapan tenaga dengan nilai pelaburan sehingga RM660 juta itu bakal siap pada 2029.
“Loji WtE ini mampu merawat sehingga 1000 tan sisa pepejal setiap hari dan mampu menjana 22 megawatt tenaga boleh baharu.
“Jumlah tenaga itu berupaya membekalkan keperluan elektrik kepada 46,000 unit rumah serta mengurangkan lebih 259,000 tan karbon dioksida,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Projek WtE Sungai Udang, di sini semalam.
Projek oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan syarikat Malakoff Corporation Berhad itu komited merealisasikan hasrat seluruh rakyat Melaka yang mahukan transformasi terhadap tapak pelupusan sisa pepejal sedia ada.
-FN





