
Laporan/foto: Siti Meriam/Zarihan Azib (Kota Bharu)
KOTA BHARU, 5 April (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan Pakej 2B bagi Projek Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai (KBKK) menunjukkan perkembangan positif sekali gus menyumbang kepada kelancaran keseluruhan pembinaan lebuh raya utama tersebut.
Pakej 2B melibatkan jajaran sepanjang kira-kira 6.2 kilometer (km) dari Ketereh hingga Kok Lanas, merangkumi pelbagai skop kerja termasuk kerja tanah, sistem perparitan, pembinaan jambatan, terowong kekotak kenderaan serta kerja-kerja penurapan jalan dan pemasangan kemudahan sokongan.
Pegawai Penguasa Projek KBKK Pakej 2B, Ir. Mohd Mukhlis Jaya Abdullah berkata pihaknya telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh di tapak projek sebelum kerja pembinaan dilaksanakan.
“Sebelum meneruskan projek, pihak JKR bersama pihak kontraktor telah melakukan pemeriksaan dan mendapati terdapat beberapa kerosakan akibat faktor cuaca, banjir serta hakisan.
“Kerja-kerja pembaikan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum baki kerja pembinaan diteruskan,” katanya kepada Malaysia Aktif, baru-baru ini.
Beliau berkata JKR kini memberi tumpuan kepada penyempurnaan baki kerja agar mengikut perancangan serta komited menyiapkan projek tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.
Kemajuan Pakej 2B ini memberi impak positif kepada keseluruhan Projek Lebuh Raya KBKK yang dijangka meningkatkan keselamatan, kelancaran perjalanan serta merancakkan pembangunan ekonomi negeri Kelantan apabila siap sepenuhnya kelak.
-FN





