
Laporan/foto: Mohd Said Kalihing/KPDN Keningau (Keningau)
KENINGAU, 5 April (MalaysiaAktif) – Jawatankuasa Gerakan Pengguna (JPG) Daerah Keningau bagi sesi 2026-2028 diaktifkan semula bagi memperkasa peranan pengguna dan memantau isu kos sara hidup di peringkat akar umbi.
Jawatankuasa di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu bertindak sebagai penggerak utama bagi memastikan inisiatif kerajaan sampai kepada golongan sasaran.

Peter akan menerajui usaha memperkasakan gerakan kepenggunaan serta pemantauan isu kos sara hidup di peringkat akar umbi.
Pengerusi JPG Keningau, Peter Jonu Moinjil berkata pihaknya menetapkan tiga teras utama iaitu pengawasan harga runcit, peningkatan literasi digital serta advokasi hak pengguna.
“Kami akan mempergiat pemantauan harga barangan keperluan asas untuk memastikan inisiatif seperti Harga MADANI dilaksanakan secara berkesan terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya selepas Majlis Pelantikan Rasmi Pengerusi JPG Keningau, di sini pada Selasa.
Moinjil menjelaskan pendidikan mengenai transaksi e-dagang turut menjadi keutamaan bagi melindungi masyarakat daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Menurutnya, jawatankuasa yang terdiri daripada aktivis komuniti dan usahawan muda itu akan bekerjasama rapat dengan Pejabat KPDN Keningau bagi mewujudkan masyarakat yang proaktif membuat aduan.
Sementara itu, Ketua Cawangan KPDN Daerah Keningau, Fadzly Daupin berpendapat pembentukan struktur baharu tersebut mampu meningkatkan keberkesanan tindakan di lapangan melalui penyaluran maklumat yang pantas.
“Kerjasama antara KPDN dan JPG adalah kritikal untuk mewujudkan persekitaran pasaran yang adil serta telus,” katanya sambil menggesa pengguna di daerah ini untuk terus menggunakan saluran rasmi bagi melaporkan sebarang salah laku peniaga.
-RJ-





