Skip to main content
Berita TempatanSabah

Hospital Keningau Perlu Hingga 400 Pek Darah

By 5 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlan Bakar/Mustapha Bacho (Nabawan)

NABAWAN, 5 April (MalaysiaAktif) – Kesedaran mengenai kepentingan menderma darah dalam kalangan orang ramai perlu dipertingkat terutama ketika Hospital Kenangau, di sini memerlukan sehingga 400 bekalan pek darah bagi menghadapi situasi kecemasan.

Pegawai Seranta Tabung Darah Hospital Kenangau Kexxy Simon berkata malangnya, kesedaran mengenai perkara itu masih rendah khususnya di kawasan luar bandar.

“Masih ramai yang takut atau kurang faham sedangkan proses ini sebenarnya selamat. Bahkan, menderma darah juga membantu merangsang penghasilan sel darah baharu serta mengekalkan kesihatan sistem peredaran darah,” katanya ketika ditemui pada Program Derma Darah di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan, di sini pada Sabtu.

Justeru, Kexxy berharap agar unit tabung darah mendapat sokongan padu daripada pemimpin tempatan serta agensi kerajaan untuk menganjurkan lebih banyak program seumpama itu.

Menurutnya, penganjuran program di Nabawan itu juga sebenarnya bertujuan memudahkan penduduk setempat menderma darah tanpa perlu ke Keningau.

Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan BBP Nabawan, Gustin Asin menyatakan pihaknya sentiasa memberikan komitmen penuh dalam menjayakan program kemanusiaan tersebut selain menggalakkan anggotanya yang sihat untuk berbuat demikian.

Seorang penderma, Nexdelelsol Paam, 28, berpendapat aktiviti menderma darah merupakan satu bentuk amal dan tanggungjawab kemanusiaan yang boleh dilakukan bila-bila masa.

-RJ-

Tinggalkan komen anda