
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SIMANGGANG, 7 April (MalaysiaAktif) – Seramai 40 peserta golongan B40 dari Bahagian Serian dan Sri Aman kini bergelar usahawan mikro selepas menamatkan kursus kemahiran di bawah Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) 2026.
Peserta terlibat telah berjaya mengikuti Kursus Asas Guntingan Rambut, Rebonding serta Keusahawanan bagi meningkatkan taraf ekonomi komuniti bandar melalui kemahiran praktikal anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Kelab Belia Perdana Sri Aman (BELDANA).

Peserta wanita tekun mempraktikkan teknik guntingan serta penggayaan rambut pada patung manekin di bawah bimbingan tenaga pengajar profesional semasa Program PEKB 2026 berlangsung di Sri Aman.
Pengerusi Kelab BELDANA Alexander Frusis berkata penganjuran ini pertama kali diadakan di Sri Aman dengan memfokuskan kepada individu berdaftar di bawah sistem eKasih.
Beliau berkata para peserta didedahkan dengan teknik gunting rambut uniseks serta dibekalkan ilmu keusahawanan dan pemasaran digital menerusi modul intensif selama tujuh hari.
“Inisiatif ini merupakan usaha menyeluruh untuk membuka ruang ekonomi kepada komuniti agar mereka mampu keluar daripada kitaran kemiskinan,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini kelmarin.
Alexander berkata penglibatan BELDANA sebagai pelaksana utama turut merangkumi fasa pemantauan pasca-kursus bagi memastikan kelestarian pendapatan peserta.
Beliau memberitahu peserta akan dipantau selama 12 bulan bagi memastikan mereka mampu menjana pendapatan secara konsisten melalui perkhidmatan gunting rambut bergerak atau pembukaan premis.
“Langkah pemantauan ini penting bagi memastikan matlamat utama program untuk memperkasa ekonomi golongan sasar tercapai sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata bagi menyokong fasa permulaan perniagaan setiap peserta dibekalkan dengan kit peralatan gunting rambut lengkap serta elaun kehadiran sebanyak RM500.
Program PEKB merupakan antara strategi proaktif kerajaan dalam memastikan pembangunan modal insan dan ekonomi komuniti bandar selari dengan cabaran kos sara hidup semasa.
-RJ-





