
Laporan/foto: Wennie Mathew (Kapit)
KAPIT, 7 April (MalaysiaAktif) – Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) terus memberi impak positif dalam memperkasakan ekonomi penduduk luar bandar, khususnya golongan wanita antaranya melalui penghasilan kraf tangan tradisional.

Penduduk rumah panjang di Rumah Manok, Lubok Mawang bersama membuat kraftangan di ‘ruai’ rumah panjang.
Ketua rumah panjang Lubok Mawang, Tuai Rumah Manok Manchal Sibat berkata komuniti di rumah panjang beliau telah menerima peruntukan SejaTi MADANI pada tahun lalu dalam bentuk bantuan bahan mentah bagi pembuatan kraf tangan.
“Peruntukan yang diterima adalah dalam bentuk material seperti manik, burik dan pelbagai keperluan lain yang digunakan untuk menghasilkan produk kraf tangan yang berkualiti,” katanya kepada Malaysia Aktif, semalam.
Bagi suri rumah, Melati Kesini Pawi, 38, berkata program tersebut memberi peluang kepada mereka untuk menjana pendapatan sampingan, dengan penglibatan sebanyak 48 isi rumah sejak tahun lalu.
“Setakat ini, kami telah berjaya menjual berpuluh-puluh hasil kraftangan kepada saudara-mara, rakan terdekat serta penduduk luar Kapit,” jelasnya.

Saripah Jubang menunjukkan kraftangan yang dihasilkannya.
Sementara itu, suri rumah, Saripah Jubang, 60, berkata program tersebut turut memupuk minat dalam kalangan penduduk tanpa mengira usia untuk mempelajari kemahiran menghasilkan kraf tangan.
“Program ini bukan sahaja membantu menambah pendapatan kami, malah mengeratkan hubungan antara penduduk apabila kami belajar membuat kraftangan bersama-sama,” katanya.
Antara kraf tangan yang dihasilkan termasuk tango moden, baju dan skirt burie, ayaman tikar serta bakul plastik yang diperbuat daripada bahan seperti manik dan tikar plastik yang menampilkan motif serta nilai tradisi Sarawak dan terus mendapat permintaan menggalakkan daripada pembeli.
-FN





