
Laporan/foto: Rahman Ishak (Putrajaya)/Facebook Fahmi Fadzil
PUTRAJAYA, 8 April (MalaysiaAktif) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka sebanyak 42 kertas siasatan berhubung penyebaran maklumat palsu berkait isu krisis tenaga global yang tular di media sosial dan platform digital setakat 3 petang tadi.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara telah dipanggil setakat ini untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.
“Daripada 42 kertas siasatan yang dibuka, 31 kandungan melibatkan berita palsu berhubung kos bahan api,” katanya pada Taklimat Krisis Tenaga Global dan Sidang Media Mingguan Kerajaan MADANI, di sini hari ini.
Katanya lagi, setakat ini MCMC telah membuat 355 permohonan penurunan kandungan palsu dari pelbagai platform media sosial dan daripada jumlah tersebut 154 kandungan telah diturunkan manakala selebihnya masih dalam siasatan.
Jurucakap Kerajaan MADANI itu turut mengajak orang ramai untuk sentiasa berwaspada terhadap sebaran maklumat terutama dalam media sosial, khusus berkait krisis tenaga global.
“Dalam keadaan dunia yang berdepan cabaran semasa, terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan dengan menyebarkan pelbagai maklumat yang tidak sahih semata-mata untuk meraih perhatian dan pengaruh.
“Jangan berkongsi sebarang maklumat selagi belum dipastikan kesahihannya dan kebenarannya. Sebaliknya, rujuklah sumber rasmi dan pihak berwajib untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Pada sidang media yang disiarkan secara langsung di saluran radio, televisyen dan media sosial rasmi kerajaan itu Fahmi sempat menitipkan petikan ayat al-Quran berkaitan amalan meneliti, menyelidik dan memeriksa kesahihan sesuatu berita atau maklumat dengan teliti sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
“Bagi umat Islam, amalan tabayun amat dituntut seperti yang dijelaskan dalam surah al-Hujurat, Ayat 6.
“Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah, yakni tabayun, untuk menentukan kebenarannya supaya kamu tidak menimpakan sesuatu musibah kepada sesuatu kaum dengan sebab kejahilan kamu sehingga menjadikan kamu menyesal di atas apa yang kamu telah lakukan,” katanya.
-RI





