
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)
MUKAH, 9 April (MalaysiaAktif) – Mukah terus mengekalkan reputasi sebagai bandar perikanan utama di pesisir Sarawak apabila menjadi tumpuan pengunjung luar untuk mendapatkan hasil laut segar.
Kekayaan sumber laut di kawasan pesisir Laut China Selatan itu menjadi nadi ekonomi masyarakat setempat khususnya nelayan tradisional yang bergantung kepada hasil tangkapan harian.
Tinjauan di Pasar Basah Mukah mendapati pendaratan hasil laut setiap hari amat memberangsangkan dengan pelbagai jenis ikan dan udang memenuhi ruang jualan seawal pagi.
Peniaga Bolhan Osman berkata bekalan hasil laut ketika ini mencukupi berikutan keadaan laut yang tenang membolehkan nelayan turun ke laut secara konsisten.

Bolhan (kanan) menunjukkan payak merah yang sudah dibungkus untuk diberikan pembeli.
“Keadaan ini memberi peluang kepada nelayan kembali dengan hasil tangkapan yang banyak sekali gus memastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya kepada MalaysiaAktif, di sini semalam.
Peniaga Uda Zaini berkata spesies ikan seperti gelama, duai putih dan tenggiri menjadi pilihan utama pembeli kerana faktor kesegaran serta harga berpatutan.
Beliau berkata udang laut seperti Payak Merah dan Payak Bukuk turut mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan kerana kualiti rasanya yang manis.
“Harga ditawarkan di sini lebih rendah berbanding kawasan lain dengan Payak Merah boleh didapati serendah RM10 sekilogram menjadikan Mukah pilihan utama pembeli luar,” katanya.
Pembeli Wennie Wenna berkata pengunjung dari kawasan berhampiran seperti Dalat, Matu, Sibu dan Bintulu juga sering datang ke pasar berkenaan.
-RJ-





