Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Kestabilan Politik Sarawak Model Pembangunan Infrastruktur Berkesan

By 14 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim/Media Fadillah Yusof (Sri Aman)

ENGKILILI, 14 Apr (MalaysiaAktif) – Sarawak kini muncul sebagai model Politik Pembangunan paling berkesan di Malaysia menerusi kestabilan politik yang menjadi pemangkin utama kepada transformasi infrastruktur serta pengukuhan perpaduan kaum.

Timbalan Perdana Menteri Dato’ Amar Fadillah Yusof berkata pendekatan inklusif yang diamalkan negeri itu merupakan cerminan keutuhan semangat Segulai Sejalai (frasa daripada bahasa Iban di Sarawak yang membawa maksud ‘Seiring Sejalan’) dalam melaksanakan projek strategik demi kesejahteraan rakyat.

Beliau menegaskan kekuatan unik Sarawak terletak pada keupayaan meraikan kepelbagaian sebagai aset sekali gus memastikan pembangunan dilaksanakan secara seimbang tanpa ada komuniti yang tercicir.

Kemuncak majlis menyaksikan Fadillah (tengah) menyempurnakan upacara memotong kek perpaduan bersama ADUN Engkilili, Dr. Johnical Rayong Ngipa (empan kanan), Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau (empat kiri) serta kepimpinan JKKK Melayu Engkilili.

“Sarawak hari ini bukan sekadar membangun dari segi fizikal, tetapi telah membentuk satu model politik pembangunan yang unik berteraskan perpaduan, kestabilan serta pelaksanaan infrastruktur yang mampan,” katanya.

Fadillah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Rakyat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Melayu Engkilili di Dewan Perpaduan Engkilili, di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memberitahu perancangan pembangunan Sarawak kini beralih ke fasa baharu yang memberikan tumpuan kepada kelestarian serta pemanfaatan sumber tenaga hijau.

Menurut Fadillah integrasi sumber tenaga air, gas dan solar adalah langkah persediaan jangka panjang bagi menghadapi cabaran kos sara hidup serta perubahan iklim global.

“Pembangunan infrastruktur khususnya kesalinghubungan di kawasan luar bandar tetap menjadi tunjang utama kerajaan bagi merapatkan jurang ekonomi,” katanya.

Fadillah turut menyifatkan inisiatif pendidikan percuma di institusi milik kerajaan negeri sebagai langkah strategik dalam memperkukuh modal insan dan meningkatkan taraf hidup generasi muda.

“Dengan gabungan kestabilan politik dan pembangunan moden, Sarawak kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai hab ekonomi hijau yang berdaya saing di peringkat serantau,” katanya.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian lawatan kerja beliau melalui program Skuad PETRA di kawasan berkenaan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda