Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Replika Bujang Senang Tarikan Ikonik Unik Tebingan Batang Lupar

By 14 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Iswandi Kassim/Bolhan Basah (Sri Aman)

SRI AMAN, 14 Apr (MalaysiaAktif) – Replika buaya yang diinspirasikan daripada legenda Bujang Senang di Sri Aman Waterfront, di sini menjadi antara tarikan ikonik dan memperkukuh identiti bandar Simanggang sebagai destinasi pelancongan warisan.

Dibangunkan sejak tahun 2021 di tebing Sungai Batang Lupar, replika itu bukan sahaja menjadi elemen landskap menarik malah menghidupkan kembali naratif sejarah serta kepercayaan masyarakat setempat.

Reka bentuk yang realistik dan berskala besar itu kini menjadi lokasi wajib bergambar dalam kalangan pengunjung khususnya pelancong domestik serta anak perantau.

Pandangan sisi arca Bujang Senang menyerlahkan kehalusan seni metalik bersegmen, memberikan impak visual realistik yang memukau setiap pengunjung.

Replika tersebut turut menambah nilai estetika sepanjang penganjuran Pesta Benak yang menampilkan fenomena ombak pasang besar di Batang Lupar setiap tahun.

Pengunjung, Eddie Alan Blanking, 31, berkata replika berkenaan memberikan pengalaman unik dan berbeza kepada setiap pelawat yang berkunjung ke kawasan tersebut.

“Replika ini bukan sahaja cantik untuk bergambar, tetapi turut mengangkat identiti Sri Aman yang kaya dengan legenda. Ramai pengunjung dari luar tertarik untuk singgah dan merakam kenangan di situ kerana daya tarikan visualnya yang menonjol.

“Namun, saya rasa penambahan papan informasi atau cerita ringkas mengenai Bujang Senang pasti memberi nilai tambah kepada pengunjung khususnya generasi muda untuk mengenali sejarah tempatan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Beliau juga berharap lebih banyak elemen berasaskan warisan serta sejarah tempatan diketengahkan di kawasan tebingan sungai bagi memperkukuh daya tarikan pelancongan bandar.

-RJ-

Tinggalkan komen anda