
Laporan/foto: Jane Chua/Remy Pisep (Saratok)
SARATOK, 15 April (MalaysiaAktif) – Seorang pengusaha tempatan memanfaatkan tanah lapang dengan mengusahakan tanaman kopi sebagai inisiatif menjana sumber pendapatan baharu di daerah ini.

Josephine memetik biji kopi berwarna merah yang telah matang di kebunnya sebagai sebahagian daripada proses penuaian.
Pengusaha Josephine Entira, 68, berkata sebanyak 300 pokok kopi jenis Robusta telah ditanam sebagai fasa permulaan projek pertanian tersebut.
Beliau menjelaskan tanaman kopi memerlukan tempoh masa dan penjagaan rapi bagi memastikan ia mengeluarkan biji kopi yang berkualiti tinggi untuk pasaran.
“Walaupun masih di peringkat awal saya berharap tanaman ini mendapat sambutan pasaran yang baik apabila hasil mula dituai nanti,” katanya kepada MalaysiaAktif hari ini.
Josephine merancang untuk menjual hasil tuaian kepada kilang pemprosesan berdekatan bagi memperluaskan potensi perniagaan ke peringkat lebih tinggi.
Beliau meletakkan sasaran agar hasil tanaman tersebut dapat diproses oleh pengusaha tempatan sekali gus dipasarkan di bawah jenama ‘Saratok’ pada masa hadapan.

Hasil tuaian biji kopi yang telah disangai akan diproses menjadi serbuk kopi.
Penduduk setempat Gon Sajuk 69, menyifatkan inisiatif berkenaan wajar dicontohi kerana keberanian pengusaha mencuba bidang pertanian yang mempunyai pulangan jangka panjang.
“Sekiranya usaha ini berjaya ia boleh membuka peluang kepada penduduk lain untuk turut menceburi bidang tanaman kopi secara komersial,” katanya.
Pengusahaan tanaman kopi tersebut dilihat mampu memperkukuh ekonomi komuniti setempat melalui kepelbagaian produk hiliran berasaskan kopi di peringkat daerah.
-RJ-





