
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 19 April (MalaysiaAktif) – Konsep silaturahim perlu difahami melangkaui pertemuan fizikal sebaliknya merupakan ikatan ukhuwah yang menyatukan hati serta memperkukuh hubungan sesama manusia demi kesejahteraan ummah.
Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh berkata hubungan berteraskan kasih sayang dan saling menghormati merupakan asas penting dalam membina masyarakat yang harmoni.
Beliau menjelaskan silaturahim melibatkan usaha berterusan untuk memelihara hubungan serta memupuk persefahaman dalam komuniti.
“Penghayatan nilai ini mampu mewujudkan keharmonian khususnya dalam konteks Sarawak yang mempunyai kepelbagaian kaum dan agama,” katanya.
Mahra berkata demikian ketika berucap pada Majlis Silaturahim bersama kumpulan muslimah Dala’ilul Khairat di Surau Hayatul Islam, Kampung Hulu di sini pada hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan kepimpinan berintegriti dengan mengambil ibrah daripada sejarah kegemilangan tamadun Islam yang dibina atas asas ilmu.
Mahra mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah komuniti boleh runtuh sekiranya prinsip keadilan dan amanah diabaikan sehingga berlaku perpecahan.
“Silaturahim perlu terus dipelihara di samping mengamalkan kepimpinan berteraskan amanah bagi menjamin kestabilan masyarakat,” katanya.
-RJ-








